Washington : Presiden Barack Obama hari ini mengutuk pembunuhan 'kejam dan mengejutkan' tiga pelajar beragama Islam di Utara Carolina oleh seorang jiran mereka yang dikatakan anti-agama.
"Tiada siapa di Amerika Syarikat menjadi sasaran kerana siapa mereka, apa paras rupa mereka dan apa anutan mereka," kata Obama dalam satu kenyataan, tiga hari selepas ketiga-tiga mangsa ditembak mati Selasa lalu.
Polis berkata, mereka masih menyiasat kejadian itu yang dipercayai tercetus kerana salah meletakkan kenderaan namun tidak menolak kemungkinan disebabkan jenayah kebencian.
Ahli keluarga mangsa bagaimanapun berkata, ketiga-tiga mangsa menjadi sasaran disebabkan agama yang dianuti mereka.
Obama berdepan kritikan antarabangsa kerana gagal memberi reaksi segera atas kematian tiga pelajar berkenaan - Deah Shaddy Barakat, 23; isteri barunya, Yusor Mohammad Abu-Salha, 21; dan adik perempuannya berusia 19 tahun, Razan Mohammad Abu-Salha.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang membuka inkuiri terhadap kejadian tembakan itu mendakwa ia dilakukan oleh Craig Stephen Hicks, 46, yang tampil menentang semua agama di laman Facebooknya.
Ketiga-tiga mangsa dikebumikan semalam dengan dihadiri ribuan orang ramai.
"Michelle dan saya merakam takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang. Apabila menyaksikan kehadiran yang begitu besar di upacara pengebumian remaja Amerika ini, kita adalah dari satu keluarga Amerika," kata Obama.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, adalah salah seorang yang mengutuk Obama kerana mengambil sikap berdiam diri beberapa hari sejak kejadian serangan tiga remaja Islam itu.
"Tiga orang Islam dibunuh di Utara Carolina dan Presiden Obama, (Setiausaha Negara) John Kerry dan (Naib Presiden) Joe Biden tidak satupun memberi kenyataan mengenainya," kata Erdogan ketika lawatannya ke Mexico semalam.
"Sebagai ahli politik, kita bertanggungjawab terhadap setiap yang berlaku di negara kita dan kita perlu menyatakan pendirian kita," katanya. - AFP
Catat Ulasan