Seorang jurugambar miang akhirnya bertemu buku dengan ruas apabila keghairahannya merakam imej seksi model Singapore Motorshow 2015 dibongkar oleh model itu sendiri.
Menggunakan rangkaian media sosial, Miki Ace berkata, insiden itu berlaku ketika dia bertugas sebagai model kereta di pameran berkenaan.
Katanya, dia melihat jurugambar terbabit bukan mengambil gambar seperti sepatutnya, malah menumpukan lensa kamera ke bahagian dada dan pahanya.
“Saya dapat merampas kameranya untuk melihat gambar yang diambil.
“Saya sangat terkejut kerana dia mengambil gambar dada dan seluar dalam setiap model yang ada di pameran ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Miki Ace, itu bukanlah kali pertama lelaki terbabit menyalahgunakan kameranya.
“Saya tak sangka kerana dia juga memiliki gambar sebegitu untuk ekspo tahun lalu!” katanya.
Pendedahan Miki Ace itu ternyata cepat menarik perhatian pengguna Facebook dan imej berkenaan dikongsi ramai dalam tempoh singkat.
Kata Miki Ace, dia mengakui dibayar untuk berpakaian menarik dan melayan permintaan pengunjung untuk bergambar.
“Tetapi ia tidak bermakna kami berhak dilayan begini,” katanya.
Menurut Miki, dia berharap semua lelaki dapat menghormati wanita sewajarnya.
Bagaimanapun, ada juga pengguna Facebook menganggap model seperti Miki Ace memang layak dilayan begitu.
Hujah mereka - model terbabit tidak boleh mengeluh berdasarkan sifat pakaian mereka yang mencolok mata. Credit HM
Catat Ulasan