Kubang Pasu : Seorang ibu dan anak bongsunya yang berusia 13 tahun sempat berpelukan sebelum kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan parah selepas digilis sebuah lori di Jalan Jitra-Kepala Batas berhampiran persimpangan lampu isyarat pekan Kepala Batas, di sini semalam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa, Hasnah Din, 54, dan anaknya, Nurshaeera Mansor dari Taman Mas Merah, di sini sedang menaiki motosikal sebelum dirempuh lori 18 tan tersebut.
Ketua Polis daerah, Superintenden Abd. Rahim Abdullah berkata, kejadian dipercayai bermula ketika motosikal Honda Wave yang ditunggang Hasnah dan dibonceng Nurshaeera dari arah Kampung Naga sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut.
“Sebuah lori seberat 18 tan yang datang dari arah Taman Tabung Haji yang sedang membelok, secara tiba-tiba hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain lalu merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.
“Akibat rempuhan itu, mangsa dan anaknya terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori tersebut sehingga menyebabkan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abd. Rahim, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
“Kita telah menahan pemandu lori terbabit yang berusia 41 tahun untuk diambil keterangan dan membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen disiasat di bawah Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Suhana Othman, 34, langsung tidak menyangka berita kemalangan maut yang diterimanya menerusi WhatsApp beberapa minit selepas kejadian melibatkan ahli keluarganya.
“Saya mempunyai ramai rakan yang menetap di sekitar pekan Kepala Batas dan mereka beritahu ada kemalangan baru berlaku di situ melibatkan kematian seorang wanita dan anaknya.
“Ketika itu, saya sudah mula berasa tidak sedap hati, kira-kira pukul 7 malam, seorang ahli keluarga datang ke rumah saya dan beritahu ibu saudara dan sepupu saya terlibat dalam kemalangan di lokasi yang sama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra, di sini semalam.
Menurut Suhana, kali terakhir dia bertemu ibu saudaranya itu Ahad lalu ketika melawat rumah seorang lagi ibu saudaranya di Pantai Johor yang baru selesai menjalani rawatan di hospital.
“Saya perhatikan kemesraan yang ditunjukkan arwah agak ketara berbanding sebelum ini dan tidak sangka ia merupakan petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya.
“Arwah sememangnya rapat dengan Nurshaeera dan sering ke mana-mana berdua kerana suaminya, Mansor Ramli, 58, lumpuh lebih tiga tahun lalu manakala empat lagi anaknya menetap di luar negeri ini kerana bekerja dan masih belajar,” ujarnya.
Kata Suhana, jenazah kedua-dua beranak itu telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lepai di sini pagi ini. -UTUSAN
Catat Ulasan