Putrajaya : Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek hari ini melancarkan Simkad Rakyat 1Malaysia (SR1M) bagi membantu golongan berpendapatan rendah, sederhana dan pelajar mengurangkan perbelanjaan ke atas penggunaan telekomunikasi.
Kad sim berkenaan adalah inisiatif syarikat swasta sepenuhnya tanpa sebarang pembiayaan atau insentif berbentuk kewangan daripada kerajaan dan diusahakan syarikat Optic Tech Sdn Bhd bekerjasama dengan penyedia rangkaian mudah alih, U-Mobile Sdn Bhd (U Mobile).
Hasan berkata, menerusi SR1M itu, pengguna dapat menikmati perkhidmatan setanding jenama lain pada harga berpatutan dan murah.
"Malah, ia menambah kepelbagaian kepada produk 1Malaysia dan membuka akses golongan berpendapatan rendah kepada dunia telekomunikasi yang lebih canggih.
"Kewujudkan SR1M ini bukan untuk menambah persaingan dalam industri penyedia rangkaian mudah alih tetapi, alternatif bagi mereka memerlukan telefon bimbit sebagai alat perhubungan utama kepada golongan berpendapat rendah, sederhana dan pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran SR1M di sini, hari ini.
Pek permulaan SR1M ditawarkan pada harga RM5.90 setiap kad sim dan dibekalkan dengan kredit percuma beserta 150 megabait (MB) akses internet.
Pengguna akan dicaj 8 sen bagi setiap 30 saat panggilan, 8 sen bagi setiap SMS dan 5 sen bagi setiap MB data yang dimuat turun. Credit HM
Catat Ulasan