Video Zamani disebar isteri Polis, namun dia sudah maafkan penyebar

Video yang memaparkan vokalis kumpulan Slam, Zamani menyanyi dalam keadaan tangan bergari dipercayai disebarkan oleh isteri kepada anggota polis yang bertugas di balai, di mana penyanyi itu ditahan.
Siasatan awal pihak polis mendapati sebaran dilakukan anggota dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya di mana anggota pertama telah merakam video tersebut sebelum memberikan rakaman tersebut kepada anggota kedua menggunakan aplikasi Whatsapp.
Kedua-dua anggota polis itu dikatakan berjanji tidak akan menyebarkan video tersebut namun berlaku perkara sebaliknya selepas rakaman itu diminta oleh anggota ketiga lalu anggota pertama bertindak memberikan rakaman tersebut kepada dua lagi individu termasuk isteri anggota ketiga.
Susulan itu, pihak polis bertindak merakam keterangan lima individu termasuk isteri kepada anggota polis terbabit, selain merampas 40 telefon bimbit.
Video nyanyian Zamani yang kini viral di Internet pula, telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Zamani Slam dilaporkan telah memaafkan individu yang menyebarkan videonya menyanyi semasa bergari dan menjadi viral di laman sosial sejak Rabu lalu, lapor sebuah portal.
Abang Zamani
Memetik laporan itu, abang pelantun lagu Gerimis Mengundang itu, Zulfazli Ibrahim berkata, Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan dan meminta agar perkara itu tidak dipanjangkan. 

"Dia sendiri yang minta agar isu ini tidak dipanjangkan dan sudah memaafkan individu itu. Saya dan keluarga akur dengan permintaan itu. Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan. 

"Saya tahu berkenaan penahanan dan video itu hanya selepas dimaklumkan rakan,” katanya selepas melawat Zamani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini. 

Sebelum ini, video berdurasi satu minit 23 saat itu menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti blog dan Facebook.
Akui terkilan dengan perlakuan individu tersebut namun Zulfazli tetap berbangga dengan tindakan adiknya yang sudi memaafkan orang lain.

"Saya agak terkilan dan sedih dengan penyebaran video ini, tetapi, saya bangga dengan dia kerana dalam keadaan menghadapi kes ini pun, dia tetap sudi memaafkan orang yang bertindak begitu," katanya.

Peguam Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar memberitahu kes anak guamnya itu akan disebut di Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa depan.

Sementara itu, pengurus peribadi Zamani, Johan Aziz memberitahu, penyanyi itu meminta agar video tersebut dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Zamani telah menyatakan kemaafan kepada pihak yang merakam video viral itu dan beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap perkara tersebut.

“Beliau juga meminta agar video itu dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak. Saya harap kita semua menghormati keputusan Zamani,” katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Zamani berada dalam keadaan sihat dan mendapat layanan yang baik oleh pihak polis.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan kami berjumpa Zamani. Alhamdulillah dia dalam keadaan sihat dan diberi layanan yang baik oleh pihak polis,” katanya.


Catat Ulasan