Kuala Lumpur : Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di
Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat
kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini, pada Sabtu.
Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang turut melibatkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna.
Mohammad Azlan, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan Farisan,
yang tinggal di asrama MSN, dikatakan menunggang motosikal untuk ke
tempat riadah sempena cuti hujung minggu setelah berehat dari sesi
latihan.
“Saya difahamkan motosikal ditunggangi Mohammad Azlan dan Farisan
kemalangan dengan sebuah van. Mohammad Azlan dikatakan meninggal di
tempat kejadian manakala Farisan dibawa ke Hospital Serdang untuk
rawatan lanjut.
“Mayat Mohammad Azlan juga dibawa ke Hospital Serdang,” katanya.
Mohd Safrushahar juga melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan
atlet paralimpik itu yang cemerlang dan merupakan ikon harapan negara ke
Sukan Paralimpik di Rio 2016.
“Ini satu kehilangan besar.. apa lagi yang boleh saya katakan.
Sasaran utama Azlan sendiri mahu meraih emas di Kejohanan Dunia di
Dubai, seterusnya meraih mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan
Paralimpik di Rio,” tambahnya.
Beliau berkata motosikal yang dinaiki Mohammad Azlan dan Farisan
dibeli daripada insentif kewangan hasil kemenangannya di Incheon.
Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lepas, Mohammad
Azlan, 24, yang berasal dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi
cemerlang dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m
dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.
Farisan, yang berasal dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh
kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay
Pyi Taw, Myanmar. Al-fatihah– BERNAMA
Catat Ulasan