Kuala Lumpur : Kerana tidak mempunyai skim perlindungan insurans, seorang pesakit diminta untuk mendapatkan rawatan ditempat lain atas alasan kos perubatan yang bakal dikenakan agak mahal berbanding hospital kerajaan.
Menurut pengadu, Zatul Aniza Yusoff yang menghubungi SuaraTv sebentar tadi dalam kejadian pada Ahad lalu, beliau telah membawa anak saudaranya yang terlibat dengan kemalangan jalan raya bagi mendapatkan rawatan di salah sebuah pusat perubatan swasta di Seremban.
Namun setelah diperiksa oleh doktor yang bertugas, beliau dimaklumkan luka yang anak saudaranya itu terlalu dalam dan tidak boleh dirawat dengan prosedur biasa.
“Menurut doktor, anak saudara saya tidak boleh dirawat di situ kerana anak saudara saya tidak mempunyai sebarang skim perlindungan insurans.
“Menurutnya kos perubatan (yang bakal dikenakan) sekitar RM7,000 kerana luka tersebut terlalu dalam dan tidak boleh dijahit dengan mengunakan prosedur biasa serta memerlukan surgeon ,X-ray, pembedahan kecil dan sebagainya” ujarnya.
Menurut Zatul, disebabkan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh doktor tersebut beliau segera membawa anak saudaranya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) bagi mendapatkan rawatan.
“Sebaik tiba di hospital Tuanku Jaafar, jururawat yang bertugas bertanya kepada saya mengapa tidak mendapatkan rawatan pusat perubatan tersebut?
“Namun sebaik sahaja saya maklumkan mengenai jawapan yang diberikan oleh doktor yang bertugas itu mereka terkejut dan hanya mampu tersenyum” ujarnya lagi.
Menurutnya setelah diperiksa doktor yang bertugas di HTJ saya dimaklumkan luka tersebut hanya memerlukan prosedur jahitan biasa, tanpa melibatkan sebarang surgeon, bilik pembedahan dan sebagainya.
Zatul turut melahirkan rasa kesal dengan layanan yang diberikan oleh pusat perubatan tersebut yang disifatkan hanya ingin mengaut keuntungan dengan mengenakan caj rawatan yang tinggi.
“Soalnya disini mengapa hospital swasta di Malaysia ini boleh meletakkan harga yang tinggi sesuka hati dan mengatakan sesuatu (seolah-olah) ingin menakut-nakutkan keluarga pesakit” katanya lagi.
Menurut Zatul lagi, beliau telah membuat aduan rasmi kepada pihak pengurusan pusat perubatan tersebut berhubung kejadian tersebut. Credit suara.tv
Catat Ulasan