Alyah kerugian RM11,000 selepas langgar kereta Ramli MS

Tidak tahu apa agaknya yang bermain di fikiran finalis Anugerah Juara Lagu ke 29, iaitu Alyah sehingga dia telah sanggup bertindak untuk melanggar kereta milik suaminya, Dato` Ramli MS.
Kejadian tersebut berlaku ekoran kontroversi perbalahan yang berlaku di Instagram di antara mereka, baru-baru ini.
Menerusi laporan Harian Metro hari ini, Alyah akui yang dia bertindak sedemikian kerana sudah hilang kawalan. Ketika dihubungi, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, 34, berkata dia berbuat demikian kerana gagal mengawal emosi dan kecewa dengan perbuatan suaminya.
Malah Alyah menambah sekiranya dia mengikutkan kehendak hati dan sifat amarahnya itu, dia mungkin akan bertindak lebih di luar kawalan. Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang punca sebenar kejadian itu dan menganggap ianya sudah berlalu.
Sumber Harian Metro sebelum ini ada memaklumkan yang bahagian depan kereta milik pengarah muzik terkenal, Dato` Ramli MS remuk dan calar dalam kejadian Ahad lalu.
Alyah turut akui yang akibat tindakannya, dia terpaksa menanggung kos mencecah RM11,000 bagi membaikpulih keretanya sendiri yang turut remuk itu. Dia bagaimanapun tidak mengetahui sama ada kereta suaminya sudah dibaikpulih atau tidak.
Terdahulu, Alyah telah menimbulkan tanda tanya dengan memuat naik foto suaminya bersama seorang wanita menerusi laman Instagram miliknya.
Foto itu kemudiannya telah dipadamkan tidak lama kemudian setelah penyanyi itu sedar foto tersebut telah menarik perhatian ramai.
Sumber mendakwa tindakan Alyah melanggar kereta suaminya sehingga remuk pada bahagian depan adalah kerana tertekan dengan pelbagai teka-teki dan kekeliruan yang wujud dengan kehadiran wanita tersebut dalam perkahwinannya.Murai HM


Catat Ulasan